Musim cuti Cameron Highland akan menjadi tempat popular untuk bercuti. Dengan kedudukannya yang begitu strategik iaitu hampir tengah-tengah pada semenanjung Malaysia menjadikan ia kawasan tumpuan untuk melancong dalam negara.

Laluan Alternatif untuk ke Cameron Highland
Laluan Alternatif untuk ke Cameron Highland
 

Oleh kerana sebab inilah berlakunya kesesakan yang agak sukar di kawal jika tiba musim cuti sekolah atau cuti umum.

 

Tempat Popular Ketika Musim Cuti

Tempat sejuk ini memang popular. Sehinggakan buah strawberry pun mungkin tidak sempat berbuah apalagi pucuk-pucuk teh tidak sempat untuk menghijau kerana sering di datangi pelancong.

Bagi mengelakkan berlakunya kesesakan trafik untuk ke Cameron Highland Pahang ini, penulis akan berkongsi beberapa laluan alternatif untuk ke Cameron Highland dan mungkin yang ingin pulang semula ke tempat masing-masing.

1. Jalan Tapah, Perak

Ini adalah jalan utama iaitu jalan yang sesiapa sahaja tahu untuk ke Cameron Highland. Popular di kalangan pengguna lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Laluan ini cukup senang diingati memandangkan terdapat laluan keluar (exit) Tapah dan terus menuju ke Cameron Highland.

Jalannya cukup sempit dan berliku liku memandangkan pengguna jalan ini perlu mengelilingi lereng bukit sebelum tiba di Cameron Highland.

Bagi yang ingin membeli petai, dan beberapa barangan dari orang asli pasti akan melalui jalan ini.

2. Jalan Simpang Pulai, Perak

Tidak jauh bezanya dengan Jalan Tapah, cuma pengguna akan mengambil lajak sehingga exit Simpang Pulai di Tol Simpang Pulai yang menghampiri Bandar Ipoh.

Jalannya tidak begitu seekstrem Jalan Tapah walaupun berbukit bukit dan berliku juga jalannya.

Lebih luas berbanding Jalan Tapah. Pada permulaan pendakian ke Cameron Highland tidaklah begitu memerlukan anda menekan minyak dengan kuat kerana pendakian yang agak santai.

Kelibat gerai jualan orang asli juga ada apabila sudah hampir dengan simpang untuk masuk ke Cameron Highland. Jalan ini akan menceriakan pelancong yang ingin bergambar dengan mercu tanda nama Cameron Highland pada bukit.

3. Jalan Lojing, Gua Musang

Laluan ini lebih sesuai untuk yang datang dari pantai timur. Perlu melalui pekan Gua Musang dan terus menghala ke arah hulu.

Menjadi laluan lori dan kenderaan sayur dari lojing menuju ke pekan dan bandar setelah mendapatkan sumber sayur atau balak.

Jalannya cukup lebar dan kecerunan dan liku liku tidak sehebat Jalan Tapah dan Jalan Simpang Pulai. Biasa biasa sahaja.

Namun, terdapat beberapa kawasan yang jalannya tidak elok dengan tampalan dan lopak.

Bagi yang mahu singgah di perkampungan orang asli, ada di dalam perjalanan anda dari Gua Musang ke Cameron Highland.

Pengguna jalan ini akan bertembung dengan pengguna dari Jalan Simpang Pulai

4. Jalan Sungai Koyan, Pahang

Jalan ini adalah dalam negeri Pahang itu sendiri. Tidak jauh bentuk muka bumi dengan Jalan Lojing tadi. Di kelilingi oleh bukit dan hutan yang sudah diterokai. 

Ada sebahagian jalan permandangannya adalah kelapa sawit dan sebahagian adalah jalan hutan.

Permulaan laluan ini adalah di Padang Tengku.

Namun, tidak pasti mitos atau cakap cakap sahaja. Jalan ini dikhabarkan memiliki cerita seram yang banyak dikongsi, mungkin kerana jalannya yang agak sunyi dan terpencil.

Pengguna jalan ini akan bertembung dengan pengguna yang datang melalui Jalan Tapah.

Jika anda dari Fraser Hill dan ingin meneruskan percutian di Cameron Highland boleh melalui jalan ini juga dengan memasuki laluan masuk di Raub.

4 Jalan Penghubung Cameron Highland

Beberapa jalan ini menggambarkan betapa strategiknya kedudukan Cameron Highland untuk pelancongan.

Jalan Simpang Pulai dan Jalan Lojing adalah penyambung perjalanan dari Perak ke Kelantan dan sebaliknya. Brinchang adalah destinasi pertama ditemui.

Jalan Tapah dan Jalan Sungai Koyan menghubungkan Perak dan Pahang dan sebaliknya. Ringlet adalah destinasi pertama ditemui.

Kelebihan Tahu Jalan Alternatif

Jadikan panduan laluan alternatif ini untuk memudahkan perjalanan anda. Tidak kira untuk mengelakkan kesesakan trafik untuk pergi dan balik, atau mencari jalan lain untuk pergi dan balik secara pusingan U jika melihatkan keadaan Cameron Highland yang sudah sesak.


0 Ulasan